Life

Banner created with MyBannerMaker.com

20 January 2011

Tahun Baru 2011



Salam Hijrah kepada semua.

Sedar tak sedar kita telah menjengah ke tahun yang baru pula, Tahun 2011. Begitu pantas sekali masa berlalu. Usia kita pula semakin menginjak pergi meninggalkan saat demi saat. Apakah persiapan kita sempena permulaan yang baru ini pula?

Ada yang membuat azam baru. Azam demi azam. Adakah pasti dapat ditunaikan? Hanya diri sendiri lebih arif dengan keupayaan diri. Elok juga kita mengamalkan teknik SMART dalam hal ini:




S - Specific (= spesifik)
M - Measurable (= boleh diukur)
A - Attainable (= boleh dicapai)
R - Realistic (= realistik)
T - Time (= tempoh masa)


Azam kita mestilah spesifik. Dalam erti kata lain, jangan terlalu umum. Contohnya : "Aku berazam hendak menjadi orang yang lebih beriman". "Lebih beriman" itu terlalu umum. Cuba perincikan seperti - "Aku akan menunaikan solat fardu pada setiap waktu, pada awal waktu". Dengan itu, kita akan lebih memberi perhatian kepada usaha yang lebih terfokus.


Azam itu boleh juga boleh diukur. Contoh : "Lebih beriman"- adakah kita boleh mengukur tahap keimanan seseorang. Hanya Allah sahaja yang tahu tahap pencapaian keimanan setiap hambaNya. Apa yang kita boleh lakukan adalah perlakuan ke arah ibadat keimanan yang semakin diperbaiki dari hari ke hari. Contohnya : berazam untuk melakukan solat sunat rawatib mengiringi solat fardu. Ini adalah kerana kita tahu ibadat sunat membantu seseorang untuk lebih dekat dengan Allah, dan secara tak langsung, menambah keimanan seseorang muslim tersebut.


Azam kita juga mestilah boleh dicapai/dilakukan. Kerana itulah, azam tersebut mestilah spesifik barulah kita yakin kita dapat melakukannya. Faktor angka dan kuantiti membantu kita mencapai azam kita tersebut. Contoh : mengerjakan solat fardu 5 waktu.


Adakah azam kita tersebut realistik dan bukannya bombastik? Kita mestilah berpijak di bumi nyata bila kita membuat sesuatu azam. Contoh: berazam mengelilingi dunia dengan berjalan kaki. Secara realitinya, adakah kita pasti dan yakin yang kita mempunyai segala kemudahan fizikal, material dan kekuatan spiritual untuk melakukan azam tersebut. Azam kita mestilah menepati keadaan realiti/sebenar.


Wujudkan juga tempoh masa untuk kita melaksanakan azam tersebut. Jangan berada di awang-awangan. Contoh : Saya hendak menjadi seorang yang kaya. Azam ini juga terlalu umum. Sepatutnya, adalah lebih baik kita berazam seperti ini : Aku akan mempunyai simpanan kewangan sebanyak RM10,000.00 pada tahun 2011. Untuk itu, kita akan berusaha supaya pada setiap bulan kita akan menolak sejumlah wang tertentu bagi memastikan kita dapat mengumpul wang sebanyak RM10,000.00 pada hujung tahun 2011.


"UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI"
Kita sebenarnya lebih mengenali keperibadian dan kekuatan kita. Oleh yang demikian, kita lebih arif dengan keupayaan kita dalam menjayakan azam kita sendiri. Buatlah azam mengikut kadar dan ukuran kita sendiri. Jangan terikut-ikut dengan rakan-rakan kerana setiap manusia dilahirkan berbeza-beza keupayaannya.

Semoga berjaya dalam melaksanakan azam-azam kita semua!!!
SELAMAT TAHUN BARU 2011!!!



No comments:

Post a Comment