Life

Banner created with MyBannerMaker.com

09 October 2011

Mood malas.......

Sebenarnya, ada banyak kerja yang perlu dibuat.  Tapi.....bila dah pegang novel, jangan haraplah nak buat benda lain. Selagi tak habis baca novel tu, memang tak terasa nak buat kerja lain.  Cadangan asalnya, nak habiskan proses buku-buku fiksyen yang berlambak kat bilik tu.  Tak boleh nak buat di sekolah sebabnya ada kerja-kerja penyelenggaraan oleh TNB di bilik kerja saya.  Jadi, saya kenalah buat di rumah.  Dalam fikiran, punyalah berangan-angan sekurang-kurangnya dapat siapkan tiga longgokan tinggi yang dah saya susun siap-siap sejak dari hari  Isnin (hari ini sepatutnya hari sekolah tapi pihak sekolah dah mohon cuti peristiwa kerana ada program pada hari  Sabtu) lepas.  Untuk hari Selasa hingga Khamis, memang tak sempatpun nak buat apa-apa dengan buku-buku tu sebab saya menghadiri kursus.

Sudahnya, sehinggalah hari Ahad, saya tak sentuh langsung buku tu. ;(
Tapi, untuk menyedapkan hati sendiri, saya menyediakan bahan-bahan untuk proses ulangkaji murid-murid saya.  Itupun, setelah selesai menonton drama bersiri Jepun di TV8. OK la jugakan...hehehe.  Tinggal seminggu je lagi sebelum  peperiksaan akhir tahun bermula (18 - 21hb Oktober).  Jadi, bolehlah 'cover' balik kerja yang sepatutnya dibuatkan.......    ;P   (helah bela diri....  keh keh keh...)

Itupun, baru je siap 4 muka surat, saya dah mula melayari internet balik...ish ish ish.  Nak buat macam mana, beri alasan ---> nak berehat jap  (hahaha).  Tak pe.....tak pe.....lepas ni, saya sambung la balik. ;)




15 September 2011

Pengalaman Pertama.

Alhamdulillah, hari ini selesai sudah tugas saya sebagai Petugas Peperiksaan UPSR di SJKT Ladang Krian, Nibong Tebal.  Pelbagai pengetahuan baru diperolehi sepanjang tugasan tersebut.  Secara kebetulan, saya juga dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengawas untuk tiga hari tersebut.  Pengalaman yang amat berguna.

Kerjasama dari semua petugas peperiksaan dan guru-guru di sekolah tersebut juga amat baik.  Calon-calon peperiksaan UPSR juga mesra dan berkelakuan baik.  Tiada masalah besar ataupun kecil yang timbul.  Pengalaman pertama yang 'exciting' and 'life-enriching'.  Jika berpeluang, kalau boleh saya berhasrat untuk menjadi petugas peperiksaan di Sekolah Kebangsaan (SK) dan SJKC pula.  Mahu melihat jika ada sebarang perbezaan dengan kaedah perlaksanaan di SJKT.


MERDEKA!
Merdeka sementara menunggu keputusan peperiksaan UPSR pada bulan November nanti.









31 August 2011

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2011!



Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan untuk kali ke 54.

Begitu pantas sekali masa berlalu. Sudah 54 tahun negara kita merdeka dari penjajah yang hakiki.
Kita beruntung kerana bebas bergerak di negara sendiri tanpa perlu rasa takut dengan ancaman peluru sesat (seperti di Somalia atau Palestin).

Bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan yang diperolehi.
Marilah kita semua bersama-sama mempertahankannya.
Begitu sukar sekali nenek moyang kita dahulu berjuang untuk menamakan 
tanah jajahan ini sebagai bumi Malaysia.
Janganlah kita dengan mudahnya atau sewenang-wenangnya mempertaruhkan tanahair tercinta ini 
ke dalam kancah peperangan dan penjajahan.  
Na'uzubillahi min zalik.



30 August 2011

Eid Mubarak 1432H!


Tanggal 30 Ogos 2011, iaitu hari ini, adalah bersamaan dengan 1 Ramadan 1432H.
 Berlalu sudah Ramadan untuk tahun hijriah kali ini.
Mohon maaf atas segala kekhilafan diri.  
Memang benar kita semua adalah insan biasa, tidak terlepas daripada melakukan 
kesalahan dan kesilapan, yang disedari ataupun tidak.

Jadi, marilah kita bermaaf-maafan kerana belum tentu kita akan bertemu lagi pada Syawal yang akan datang.

Eid Mubarak! Kullu 'amin wa antum bikhoir!!!



08 August 2011

Puasa yang mencabar.....





Ramadan kali ini agak mencabar...
Segala-galanya extra
extra letih...
extra mengantuk...
extra malas :(

Mudah rasa letih walaupun hanya setelah buat kerja yang mudah-mudah je.
Mudah rasa mengantuk ...tak kira masa.  Pada waktu malam, diri dah tak berupaya nak berjaga lama.
Mudah rasa malas.  Banyak kerja yang dirancang untuk dibuat---> tak menjadi.  Sedihnya  :-(

Puasa kali ini memang berbeza dari yang tahun-tahun lepas.  Kenapa ye?
Mungkin sebab suasananya dah agak berlainan...
...suasana sekolah yang baru
...perjalanan ke sekolah yang jauh (lebih kurang 45 minit)
...cuaca?  Mungkin juga.  Agak panas dan membahang.

TAPI rasa-rasanya antara sebab-sebab yang utama adalah KURANG
... keimanan yang mantap
... jati diri yang utuh
... rasa kehambaan yang tinggi
... rasa yang ALLAH tu sentiasa memerhati
... tahap disiplin diri yang konsisten
... rasa bertanggungjawab kepada diri sendiri

KERANA yang sebenarnya...jika saya meletakkan ALLAH di atas segala-galanya, diri akan berusaha juga untuk beribadat kerana saya hidup ini pun di atas ihsan NYA.  

Susah betulkan nak istiqamah.  Jadi, Insya Allah, impian saya supaya saya akan lebih 'energetic' untuk menghadapi hari-hari bakal mendatang.  


01 August 2011

Salam Ramadhan 1432H!



Ramadan yang dinantikan tiba lagi.
Alhamdulillah kerana  kita masih lagi diberi kesempatan oleh Allah SWT
untuk menghirup udara Ramadan dan menjalani ibadat puasa
yang menjadi salah satu Rukun Islam.
Alhamdulillahi Robbil 'Alamiin!!!



Marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan ini memperbaiki 
mutu amalan kita dari segi kualiti & kuantiti.
Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah & rahmatNya kepada kita sepanjang hidup kita.
Ameeen !


18 March 2011

Hadis Ketigapuluh



Dari Abi Tsa'labah Al-Khusani, Jurthum bin Nashir r.a. daripada Rasulullah SAW, yang bersabda:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memfardhukan beberapa kewajipan maka janganlah kamu mengabaikannya. 
Dan ia telah menetapkan beberapa hudud (batasan), maka janganlah kamu melampauinya. 
Dia telah mengharamkan beberapa benda maka janganlah kamu melanggarnya. 
Dan Dia telah mendiamkan beberapa perkara sebagai suatu rahmat terhadap kamu bukan kerana lupa maka janganlah kamu berbahas mengenainya." 

12 March 2011

Selamat bercuti..... :p



SELAMAT BERCUTI!!!!!


Yeah, cuti sekolah datang lagi.  Masanya telah tiba buat para guru dan murid untuk berehat buat seketika.   Walaupun hanya seminggu, sempatlah juga buat kami untuk menghilangkan lelah bekerja & belajar pada awal tahun ni.

Harap-harap tu kami akan lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan kami setelah buka sekolah nanti.

Guru-guru.....dengan semangat berkobar-kobar mendidik anak-anak bangsa....
Murid-murid.....dengan semangat laksana pejuang-pejuang dalam menuntut ilmu.....

  


Hadis Keduapuluh Sembilan

Dari Muaz bin Jabal r.a, berkata : "Khabarkan kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku masuk ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka." 

Jawab Nabi SAW : "Sebenarnya engkau telah bertanya suatu perkara yang besar dan sesungguhnya amat mudah sekali bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah Ta'ala, iaitu : Hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan suatu yang lain. Engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah."
 
Kemudian Nabi bersabda lagi : " Mahukah engkau aku khabarkan pokok amalan, tiangnya dan kemuncaknya? "Aku menjawab : " Mahu, ya Rasulullah."  Sabda baginda : "Pokok amalan ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad."
 
Kemudian Nabi bersabda lagi : " Mahukah engkau aku khabarkan kunci kepada semua perkara ini? " Aku menjawab : " Mahu, ya Rasulullah. "Lalu baginda memegang lidahnya seraya berkata : "Awas, jaga ini baik-baik. " 
Aku bertanya : "Ya Rasulullah, adakah kami akan dituntut kerana berkata dengannya ? "Baginda lalu menjawab : "Dan tidak akan dicampakkan manusia ke atas muka mereka atau batang hidung mereka ke dalam neraka melainkan hasil tutur bicara mereka."

 

06 March 2011

Hadis Keduapuluh Lapan

Dari Abi Najih bin Al-Irbadh bin Sariyah, katanya : 
"Rasulullah SAW telah memberikan suatu nasihat kepada kami yang menggetarkan hati dan menitiskan air mata. Maka kami berkata kepadanya : 'Wahai Rasulullah, seolah-olah ini suatu nasihat yang terakhir, maka berikanlah kepada kami suatu pesanan. 

'Sabda Rasulullah SAW : 'Saya berpesan kepada kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla serta mendengar dan taat sekalipun kepada seorang hamba yang memerintah kamu. Sesungguhnya orang-orang yang masih hidup di antara kamu akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan dan sunnah Khalifah Ar-Rasyiddin Al-Mahdiyyin yang beroleh petunjuk (daripada Allah) dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu (berpegang teguh dengannya dan jangan dilepaskan sunnah-sunnah itu). 

Dan jauhilah kamu dari perkara-perkara yang diadakan kerana sesungguhnya tiap-tiap bida'ah itu menyesatkan. ' 

15 February 2011

Salam Maulidur Rasul

Salam dan selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga baginda.




12 Rabiul Awwal.
tarikh yang bersejarah dalam sejarah manusiawi.
tarikh yang mengubah tamadun peradaban dunia...
dari jahiliah kepada ilmiah...
dari kegelapan kepada cahaya....
dari kezaliman kepada keadilan...
dari kemunduran kepada kemajuan...
dari kebencian kepada cinta kasih sayang...




Pada hari keputeraan baginda kini
marilah kita sama-sama menuturkan salam dan selawat kepada Nabi terunggul
bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita diberikan kesempatan
tergolong dari sebahagian khairo ummah
ummat yang terbaik
sebaik-sebaik ummah
di bawah pimpinan Rasul teragung

juga berdoa agar baginda memberikan syafaat kepada kita
insan alpa yang diulit noda dan dosa, cela dan nista
pada hari yang tiada lagi dapat kita memohon pertolongan selain daripada-Nya
dipermudahkan meniti titian siratul-mustoqim

Ayuh...
mari kita bersama-sama telusuri tawarikh Islami
belajar dari kesilapan lampau
moga tidak kita terulang khilaf yang sama
kerana...hanya yang dikurniakan hikmah
bisa menilai intan dari kaca serpihan
harapan agar kita dari golongan ulul abrar
senantiasa di bawah lindungan rahmat dan inayah
Tuhan sekalian alam




Hati ini rindu.....
rindu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata
kapan agaknya kita akan bertemu
di bawah naungan mahabbah
menjejaki taman firdausi
menikmati kasih sayang Ilahi
sepertimana yang telah dijanjikan
untuk insan-insan terpilih




Assalamu 'alaika Ya Rasulullah.....
Assalamu 'alaika Ya Habiballah.....
Allahumma solli 'ala saiyidana Muhammad wa 'ala alihi saiyidana Muhammad.






13 February 2011

Tetiba je nak berubah....

Salam. 

Hari ni, entah angin apa yang datang bertiup...tetiba je saya tercatuk depan komputer riba pada penghujung petang dan mendapat idea untuk mengubah 'template' dan 'design' blog ni.  Saja je nak ubah angin...:)

Bukan sekadar tu saje, siap ubah 'font' lagi...untuk 'post text' dan 'post tab'.  Mungkin agaknya saya dah jemu dengan 'template' yang lama.  Tak mustahil juga saya akan ubah lagi 'layout' blog ni pada masa akan datang...hmmm.....Macam laa dah tak ada kerja lain yang nak dibuat..... kih kih kih

Apa-apapun, terasa teruja juga la bila dah dapat penampilan baru ni.  Terus ada mood nak menulis kat blog ni. Nampak gayanya, elok juga kalau sekali-sekala datang 'angin' macam ni...ermm...  Kalau tidak, entah bila pula nak mengatur ayat demi ayat kat sini.

Macam tahun lepas, saya hanya sempat menulis pada 3 - 4 bulan pertama sahaja.  Selepas tu, dah tak ada entri baru disebabkan kekangan masa.  Yelah, sibuk dengan tuisyen STF (Skim Tuisyen Felda), pengurusan kerja sebagai Setiausaha Peperiksaan (Dalaman /UPSR) & Setiausaha Kurikulum dan hal-hal berkaitan dengan Panitia Bahasa Inggeris dan Kelas Tahun 6.  Jadi, kadang-kadang tu, walaupun ada kesempatan 'mengadap' skrin komputer, idea untuk menulis pula tiada.   Begitulah ceritanya......  ;)

Untuk tahun 2011, saya akan cuba untuk memasukkan sebanyak entri yang boleh.  Insya Allah.  Buat masa ni, saya mempunyai ruang masa yang agak terluang.  Selalunya, pada awal tahun, memang begitu.  

Insya Allah, saya akan berusaha untuk kemaskini blog ni dari semasa ke semasa...   :-)






12 February 2011

Warkah Cinta Berbau Syurga & Kala Cinta & Wahyu Bersatu



Karya A. Ubaidillah Alias, seorang novelis al-hafiz yang berasal dari negeri Serambi Mekah. Pemegang Ijazah dalam jurusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Sebuah dwilogi. Buku yang pertama dalam dwilogi tersebut adalah "Warkah Cinta Berbau Syurga" manakala buku yang kedua adalah " Kala Cinta & Wahyu Bersatu."

Sebenarnya, saya sudahpun khatam membaca novel yang pertama pada tahun 2008 dan saya baru terjumpa kesinambungannya dalam novel kedua baru-baru ini. Jadi, saya telah mengulang bacaan novel yang pertama pada hujung minggu lepas bagi mengingati semula jalan ceritanya. Insya Allah, pada hujung minggu ini, saya akan menyambung kesudahan cerita tersebut dalam "Kala Cinta & Wahyu Bersatu" pula.

:-)



03 February 2011

Tiga Kali Seminggu

Ini adalah karya terbaru yang dibaca saya pada masa kini, "Tiga Kali Seminggu".


Sebuah karya Dr. Faisal Tehrani, ia memuatkan 15 buah cerpen beliau. Masih lagi menekankan genre Islami, beliau mengajak untuk bukan hanya sekadar membaca ceritera beliau tetapi juga mencabar minda untuk berfikir dengan cara lebih terbuka berhubung dengan beberapa isu semasa yang melanda umat Islam terkini.

Untuk sesiapa yang berminat dengan pemikiran kritis, dialu-alukan membaca karya beliau ini.

29 January 2011

Aku Mahu....


Ini adalah buku terbaru yang sedang diuliti saya.

Ia merupakan komplikasi 3-dalam-1 iaitu 3 novel dalam 1. Terdapat 3 buah novel di dalamnya :
1- Aku Mahu... Popular
2- Aku Mahu... Saiz S
3- Aku Mahu... Teman Tapi Mesra

Setakat yang saya dah baca setakat pagi ini, ia sesuai untuk golongan remaja (pelajar-pelajar sekolah menengah) kerana ia banyak menyentuh isu-isu keremajaan.

Saya selalu nampak novel-novel karya Ain Maisarah di kedai-kedai buku. Sebelum ini, saya tak berkesempatan untuk membeli. Jadi, teringin juga rasa di hati nak menjelajah hasil karya penulis muda ini.

Walaupun ia lebih kepada remaja, tapi apa salahnya saya membacanya juga kan [kadang-kadang terasa juga seolah-olah saya ni masih seorang remaja .....hmmmm.....remaja di jiwa... =)...]

Harap-harap tu, saya dapat habiskan sesi membaca buku ni pada hujung minggu ni....







20 January 2011

Tahun Baru 2011



Salam Hijrah kepada semua.

Sedar tak sedar kita telah menjengah ke tahun yang baru pula, Tahun 2011. Begitu pantas sekali masa berlalu. Usia kita pula semakin menginjak pergi meninggalkan saat demi saat. Apakah persiapan kita sempena permulaan yang baru ini pula?

Ada yang membuat azam baru. Azam demi azam. Adakah pasti dapat ditunaikan? Hanya diri sendiri lebih arif dengan keupayaan diri. Elok juga kita mengamalkan teknik SMART dalam hal ini:




S - Specific (= spesifik)
M - Measurable (= boleh diukur)
A - Attainable (= boleh dicapai)
R - Realistic (= realistik)
T - Time (= tempoh masa)


Azam kita mestilah spesifik. Dalam erti kata lain, jangan terlalu umum. Contohnya : "Aku berazam hendak menjadi orang yang lebih beriman". "Lebih beriman" itu terlalu umum. Cuba perincikan seperti - "Aku akan menunaikan solat fardu pada setiap waktu, pada awal waktu". Dengan itu, kita akan lebih memberi perhatian kepada usaha yang lebih terfokus.


Azam itu boleh juga boleh diukur. Contoh : "Lebih beriman"- adakah kita boleh mengukur tahap keimanan seseorang. Hanya Allah sahaja yang tahu tahap pencapaian keimanan setiap hambaNya. Apa yang kita boleh lakukan adalah perlakuan ke arah ibadat keimanan yang semakin diperbaiki dari hari ke hari. Contohnya : berazam untuk melakukan solat sunat rawatib mengiringi solat fardu. Ini adalah kerana kita tahu ibadat sunat membantu seseorang untuk lebih dekat dengan Allah, dan secara tak langsung, menambah keimanan seseorang muslim tersebut.


Azam kita juga mestilah boleh dicapai/dilakukan. Kerana itulah, azam tersebut mestilah spesifik barulah kita yakin kita dapat melakukannya. Faktor angka dan kuantiti membantu kita mencapai azam kita tersebut. Contoh : mengerjakan solat fardu 5 waktu.


Adakah azam kita tersebut realistik dan bukannya bombastik? Kita mestilah berpijak di bumi nyata bila kita membuat sesuatu azam. Contoh: berazam mengelilingi dunia dengan berjalan kaki. Secara realitinya, adakah kita pasti dan yakin yang kita mempunyai segala kemudahan fizikal, material dan kekuatan spiritual untuk melakukan azam tersebut. Azam kita mestilah menepati keadaan realiti/sebenar.


Wujudkan juga tempoh masa untuk kita melaksanakan azam tersebut. Jangan berada di awang-awangan. Contoh : Saya hendak menjadi seorang yang kaya. Azam ini juga terlalu umum. Sepatutnya, adalah lebih baik kita berazam seperti ini : Aku akan mempunyai simpanan kewangan sebanyak RM10,000.00 pada tahun 2011. Untuk itu, kita akan berusaha supaya pada setiap bulan kita akan menolak sejumlah wang tertentu bagi memastikan kita dapat mengumpul wang sebanyak RM10,000.00 pada hujung tahun 2011.


"UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI"
Kita sebenarnya lebih mengenali keperibadian dan kekuatan kita. Oleh yang demikian, kita lebih arif dengan keupayaan kita dalam menjayakan azam kita sendiri. Buatlah azam mengikut kadar dan ukuran kita sendiri. Jangan terikut-ikut dengan rakan-rakan kerana setiap manusia dilahirkan berbeza-beza keupayaannya.

Semoga berjaya dalam melaksanakan azam-azam kita semua!!!
SELAMAT TAHUN BARU 2011!!!